Teraputik


Kehebatan kajian dan penemuan terkini dalam bidang sains & teknologi yang mula meletus sejak beberapa dekad kebelakangan ini memang sangat bermanfaat dan boleh dibanggakan. Perkara ini dapat memudahkan urusan harian kita dan mungkin juga menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Lihat sahaja di sekeliling kita, bangunan, kereta, talifon bimbit adalah antara contoh yang paling mudah. Kalau dulu Kuala Lumpur kerap dilanda banjir kilat, bidang kejuruteraan telah membantu dengan membina 'smart tunnel'. Lambakan tablet dan smart phone juga adalah manfaat dari teknologi hari ini. Orang ramai tidak lagi perlu memikul komputer ke hulu ke hilir. Semua ini adalah manfaat yang perlu kita syukuri kepada Allah.

Namun begitu, kehebatan teknologi pada hari ini seolah olah tidak mampu untuk membantu menyelesaikan masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Semakin lama, keimanan terhadap Allah semakin terhakis. Tidak ada alat yang berteknologi tinggi berjaya dicipta untuk mengurangkan kadar masalah sosial yang berlaku. Satu contoh mudah tidak ada penggera yang dapat menjauhkan seorang lelaki dengan wanita yang bukan mahramnya.

Suka atau tidak, kenyataan ini perlu ditelan. Masalah sosial yang melanda masyarakat dewasa ini tidak memerlukan sebarang peranti elektronik. Perkara utama yang perlu diperhatikan adalah pembinaan iman setiap pemuda pada hari ini. Adakah kita sedang berusaha keras membina jambatan iman untuk ke syurga Allah? Atau kita sebenarnya menyediakan landasan menuju ke neraka? Fikirkanlah apa yang sedang kita lakukan.

Jika kita sedang membina iman, alhamdulilah...teruskan hingga dapat melihat wajah Allah kelak. Tapi sekiranya ternyata kita sedang menuju ke neraka, masih ada waktu untuk mengubah haluan. Pintu taubat masih terbuka luas. Jangan sia siakan peluang ini. Allah swt berfirman dalam surah al-an'am ayat 125

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

Mohonlah kepada Allah agar kita tergolong dalam kelompok orang yang lapang hatinya untuk menerima hidayah Allah. Jangan kita terdiri dari golongan yang jauh dari hidayah.

Jika kita ulang tinjau kitab sirah, sebelum kelahiran Rasulullah, masyarakat Arab dulu juga pernah berhadapan dengan masalah sosial yang kronik. Pelacuran, buang bayi, arak, tilik nasib semuanya pernah berlaku. Tahu apa yang telah Rasulullah lakukan untuk membaikpulih keadaan ini?

Rasulullah tidak membina bangunan pencakar langit. Tidak juga mencipta perisian komputer. Perkara yang telah dilakukan oleh baginda adalah halaqoh. Sejurus selepas menerima wahyu kali ke-2 melalui Jibril, baginda terus mengajak beberapa orang sahabatnya untuk berhalaqoh di rumah Alarqam bin Abi Alarqam. Dengan halaqoh yang multijah tersebut, Islam tersebar ke serata dunia.


Inilah rawatan teraputik yang boleh dijadikan contoh untuk merawat penyakit umat pada hari ini. Dampak rawatan teraputik bawaan Rasulullah ini, para sahabat gigih melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kejayaan kaedah rawatan ini tidak boleh dinafikan lagi, 3/4 dunia pernah damai dan makmur di bawah naungan Islam.

Maka hari ini saya mengajak semua untuk kembali menjalani kehidupan nubuwah ini. Cara hidup yang mampu memandu kita menuju syurga yang penuh dengan rahmat dan redha Allah. Jom halaqoh!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
so, secara kesimpulan, apa maksudnya teraputik ? boleh explain secara detail maksudnya ?
Walid Hafizul berkata…
Teraputik - Sesuatu tindakan yang berkaitan dengan cara merawat atau mengubati penyakit.

~sumber - Pusat Rujukan Persuratan Melayu
Unknown berkata…
masuk sinergi ke artikel ni?
Walid Hafizul berkata…
nope, not this one.
ana hantar yang lain