Antara Takdir & Keinginan


"Rezeki secupak, takkan jadi segantang"

saya rasa kita perlu hilangkan peribahasa ini dari kamus hidup. Ramai orang yang saya kenal sudah banyak kali menyalahgunakan peribahasa ini dalam hidup mereka. Peribahasa ini, secara sedar atau tidak meletakkan tembok penghalang kepada usaha yang lebih besar.

Ramai orang hanya melepaskan batuk di tangga jika tiba kepada bab usaha. Beralasankan peribahasa tadi, mereka jadi bermalas-malasan untuk berusaha secara maksimum untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Tidakkah kita semua sedar bahawa kita akan berpuashati dengan hasil yang kita peroleh jika usaha yang kita lakukan benar-benar sehabis baik.

Atau mungkin juga usaha yang tak seberapa itu terdorong dari gambaran minda kita yang memang dari awal menjangkakan suatu kesudahan yang ala kadar. Justru, tidak hairanlah jika kita mendapat hasil yang tak seberapa. Sesuai dengan jangkaan awal kita!


Peranan Minda

Sebagai orang Islam, kita sepatutnya mempunyai akal yang mampu berfikir besar. Jangan kita sia-siakan anugerah Allah ini dengan berfikir ala kadar. Perbuatan ini sangat merugikan umat ini. Orang Islam perlu menjadi umat yamg sentiasa berfikir untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika anda seorang pelajar, berfikirlah untuk menjadi pelajar yang terbaik. Jika anda seorang boss, berfikirlah untuk menjadi seorang boss yang terbaik, jika anda seorang suri rumah, berfikirlah untuk menjadi suri rumah yang terbaik.

Untuk merealisasikan gagasan berfikir seperti ini, kita perlukan gambaran minda yang jelas. Mari saya kongsikan cerita rakan saya semasa saya sedang mengikuti program matrikulasi. Saya sempat berkenalan dengan seorang lelaki yang luar biasa hebat. Orangnya kurus akibat menderita penyakit diabetis pada usia muda. Terlalu banyak makanan yang dia tak boleh makan. Perkara yang luar biasa dari lelaki ini adalah dia mempunyai azam dan gambaran yang jelas untuk menjadi seorang doktor perubatan.

Ketika artikel ini ditulis, kawan saya tersebut telahpun tamat pengajian untuk program doktor perubatan di Universiti Padjajaran, Bandung, Indonesia. Saya sangat kagum dengannya. Walaupun hidupnya tidak seseronok orang lain, kerana hidupnya dikelilingi jadual makan dan pengambilan insulin. Namun kawan saya ini tetap berusaha semaksimum mungkin untuk mencapai cita-cita tersebut. Lebih membanggakan, kini rakan saya tersebut sedang bertugas di RSUP Dr. Hasan Sadikin, Bandung, Indonesia .

Rakan saya tadi tidak pernah menjadikan alasan kesihatan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan. Mindanya jelas berfikir untuk bertugas sebagai seorang doktor perubatan.

Tidak ada alasan untuk tidak berusaha

Dalam artikel kali ini juga saya suka untuk berkongsi akan peranan minda dalam memacu kejayaan hidup. Pada masa awal saya sebagai sorang mahasiswa, saya pernah terinspirasi dari seseorang untuk mengajar di MRSM apabila tamat belajar. Itulah menjadi titik tolak bagi saya melakar perjalanan hidup sebagai guru MRSM. Usia saya yang agak muda mungkin menyebabkan orang tidak percaya bahawa saya mampu mengajar dengan baik pada ketika itu. Namun, itu tidak pernah melemahkan semangat saya untuk terus berusaha.

Pernah satu ketika, saya mendapat nilai yang kurang menyenangkan ketika belajar. Nilai yang saya dapat pada ketika itu di bawah nilai 2.00. Namun saya anggap itu sebagai pembakar semangat dan pengalaman untuk dikongsikan kepada semua yang bergelar mahasiswa + daei. Kadangkala sesuatu yang pahit juga perlu ditelan untuk menjadikan seseorang itu benar-benar tahu erti sebenar kejayaan. Saya bangkit dan kembali berjuang mendapatkan pengiktirafan akademik yang berupa segulung ijazah.

Natijah nilai pointer yang rendah, saya mendapat 'denda' dari pihak PTPTN. Saya tidak mendapat pinjaman pada sem yang berikutnya. Itu memang prosedur yang diketahui umum terutamanya dikalangan mahasiswa. Saya berhutang dengan pihak universiti untuk beberapa sem kerana 'denda' tersebut. Hutang yuran pengajian tersebut hanya dapat saya langsaikan setelah saya tamat pengajian. Untuk mendapatkan duit poket, saya pernah berniaga menjual kuih di kolej kediaman. Pernah juga saya bekerja di kafe. Namun perkara yang paling manis untuk dikenang adalah pengorbanan ikhwah yang sanggup berkongsi wang pinjaman mereka bersama saya.

Nyatakanlah apa juga namanya dugaan dan rintangan yang datang, matlamat saya tetap jelas, menjadi tenaga pendidik di MRSM. Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa, pada ketika artikel ini ditulis, saya baru sahaja menjawat jawatan pegawai perkhidmatan pendidikan atau bahasa mudahnya guru. Malah sesuatu yang saya sangat bersyukur adalah jawatan ini saya sandang di MRSM Kota Kinabalu, sesuatu yang sangat saya impikan. Ternyata peranan mindalah yang memainkan peranan untuk saya dan kita semua mendapatkan setiap yang kita inginkan. Jangan sesekali kita salahkan takdir jika tidak berjaya memenuhi harapan dan cita-cita.

Jika kita undurkan sedikit perjalanan waktu, tentu pembaca akan dapati bahawa saya hanya berjaya menyelesaikan progam ijazah pertama dalam masa 5 tahun. Lewat setahun berbanding kawan-kawan sekuliah saya yang lain. Tambahan setahun tersebut saya perlukan untuk mengambil beberapa kursus lagi yang masih berbaki. Ternyata, bukan masalah IQ yang menjadi penentu kejayaan. Rezeki yang Allah berikan kepada kita memerlukan usaha yang tidak sedikit.

Rezeki adalah rahsia Allah

Memang rezeki secupak takkan jadi segantang. Tapi adakah kita tahu rezeki kurniaan Allah untuk kita hanya secupak? Atau mungkin Allah berikan secupak dahulu pada ketika ini untuk kita menggandakan usaha pada masa akan datang! Jangan salahkan takdir, jangan salahkan Allah. Lihat kembali usaha dan pengorbanan yang telah kita lakukan untuk mendapatkan hasil. Berfikirlah untuk menjadi yang terbaik!

Ulasan