Tahajud Cikgu

Profesion sebagai guru memerlukan seseorang itu banyak berinteraksi dengan pelajar. Hal ini berikutan peranan guru untuk mendidik dan mencorakkan pelajar-pelajarnya. Maka kemahiran komunikasi adalah satu perkara yang penting untuk dikuasai oleh guru.

Jika kita imbas kembali kepada zaman persekolahan kita dahulu. Abu Dzar yakin dan percaya, kita akan terkenang kepada beberapa orang guru yang mampu mengendalikan sesi pembelajaran dengan baik. Tidak lupa juga kepada guru yang mempunyai perwatakan yang membosankan pelajar. Ini adalah realiti. Meskipun guru telah dilatih sebelum dihantar mengajar di sekolah-sekolah, hakikatnya guru adalah seorang manusia.

Natijahnya, ada pelajar yang mengkategorikan guru-guru mereka;
  • Cikgu yang best
  • mudah faham kalau mengajar
  • tak cepat marah
  • ada nilai humor
  • banyak bagi nasihat
  • kuat bersukan (baca: sporting)

Secara jujurnya, ada guru yang membosankan@menakutkan
  • Cikgu yang tak best
  • garang tahap gaban
  • tak senyum dengan student lansung
  • mengajar tak faham
  • ponteng kelas ni lagi bagus

Apa kaitan antara tahajud dan menjadi guru yang berkerampilan? Secara dasarnya, menjadi guru yang berkerampilan memerlukan seseorang guru itu memiliki hubungan yang baik dengan Allah. Justru itu, kali ini dengan rendah hatinya Abu Dzar tampil dengan satu nasihat dan cadangan kepada semua guru yang ada di atas muka bumi ini. Guru perlu bangun untuk solat tahajud.

73:1. Hai orang yang berselimut (Muhammad),
73:2. bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya),
73:3. (yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit,
73:4. atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Qur'an itu dengan perlahan-lahan.
73:5. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.
73:6. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.
73:7. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).
~Surah al-Muzammil ayat 1 - 7

Ya guru perlu bangun untuk solat tahajud. Walaupun anda hanya seorang guru kemahiran hidup atau pendidikan seni. Bangun untuk solat tahajud bukan milik ekslusif ustaz dan ustazah yang menngajar Pendidikan Islam, solat tahajud adalah sesuatu yang sangat penting untuk semua guru. Bukan subjek yang menjadi faktor penentu. Profesion itu sendiri sebenarnya yang memerlukan anda untuk bertahajud.

Mari kita buka kembali kitab sejarah untuk mengetahui sejauh mana insan yang hebat menyantuni ibadah solat tahajud.

Sahabat Rasulullah yang bertebaran menyebarkan agama Islam tidak pernah jauh dari ibadah tahajud. Buktinya, ketika Abdullah Ibn Abbas masih kanak-kanak, beliau pernah bangun pada suatu pagi yang hening dan mendapati Rasulullah sedang bertahajud. Lantas beliau berwudhuk dan ikut bersolat di belakang Nabi saw.

Impak dari melakukan solat tahajud adalah 'perkataan yang berkesan'. Guru yang berkesan sangat memerlukan perkataan yang berkesan.  Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan yang berkesan?

Perkataan yang berkesan adalah kata-kata yang membekas di hati pendengar. Dalam hal ini, pendengar kita adalah pelajar. Pelajar yang mendengar nasihat (atau mungkin lebih tepat adalah bebelan) yang kita ucapkan akan lebih terkesan di hati.

Abu Dzar yakin mesti ada guru yang mengingatkan pelajarnya untuk sentiasa menjaga kebersihan. Tapi, cuba kita perhatikan perbuatan pelajar apabila ternampak sampul gula-gula di bawah bangku taman permainan. Ada yang berpura-pura tak nampak. Ada juga yang ringan tulang membongkokkan badannya dan mengutip sampah tersebut untuk dibuang ke dalam tong sampah.

Pelajar yang tidak membuang sampah tadi bukan tidak tahu bahawa mereka perlu menjaga kebersihan, walaupun bukan dia yang menikmati manisnya gula-gula tersebut. Akan tetapi, ini adalah buah dari perkataan yang berkesan.



Jika hal ini berlaku, maka para guru tidak perlu berbuih mulut untuk mengingatkan pelajar mereka dengan perkara yang sama berulang-ulang. Cukup sekali atau dua dan pesanan tersebut akan melekat di hati dan minda mereka.

Selepas memikirkan besarnya pahala dan kesan kepada pelajar, Abu Dzar mengajak semua yang berkhidmat sebagai pendidik untuk bangun menunaikan solat tahajud. Semoga kita mendapat redha Allah.

Ulasan