Jangan Menghina Tuhan Mereka

Sudah lama tidak menulis di MeNtaDakaKiDaL ni. Sedikit coretan kali ini untuk melepas rindu kepada minat menulis dan paling utama untuk berkongsi ilmu dengan semua pembaca blog yang tidak seberapa ini.

Krismas & Kristian
Jika umat Islam merayakan aidilfitri dan aidiladha sebagai perayaan agama, penganut agama kristian pula meraikan krismas sebagai perayaan keagamaan mereka. Krismas adalah sambutan kelahiran seorang lelaki soleh yang lahir dari rahim seorang wanita suci, Maryam.

Lelaki soleh ini dipanggil Jesus atau umat Islam kenali sebagai Isa. Tak kira apa jua nama ataupun gelaran yang diberikan, kita sebenarnya merujuk kepada individu yang sama. Seorang jejaka yang menyebarkan agama Allah ini dengan penuh rasa kasih sayang. Seorang anak yang tidak pernah merasai kasih sayang dari seorang bapa tapi sangat arif erti cinta dan berusaha untuk menyemai perasaan tersebut kepada semua insan.

Untuk artikel kali ini, Abu Dzar tidak ingin membahas tentang kesahihan tarikh 25 Desember tersebut adalah tarikh lahir Jesus. Samada ia benar atau tidak. Membahaskan perkara ini tidak lebih dari mencari lubang-lubang pertelingkahan. Justru itu, Abu Dzar rasa adalah lebih baik jika kita menjauhi garis perbezaan. Melihat kepada suasana hubungan antara agama yang agak dingin dampak beberapa kes yang pernah menjadi isu hangat di tanah air ini. Jangan kita tambah lagi keruh suasana!

Lantaran itu, artikel ini sebenarnya untuk mengingatkan sahabat Muslim sekalian untuk kita sama-sama membetulkan sikap terhadap penganut agama Kristian di negara ini. Atau mungkin juga dengan seluruh penganut agama Kristian di dunia.

Apabila tiba bulan Disember, banyak pasaraya akan menghias premis perniagaan mereka dengan pokok pine atau lebih dikenali sebagai pokok krismas. Memandangkan Malaysia adalah negara yang beriklim khaltulistiwa iaitu mengalami suhu panas dan lembap sepanjang tahun. Serta tidak ada beza 4 musim. Salji tidak akan turun. Mereka akan mengambil kapas sebagai ganti salji...salji palsu!

Di sudut lain, diletakkan patung lelaki gemuk berjambang putih berpakaian merah menaiki luncur salji dan beberapa ekor rusa. Bersama lelaki tersebut ada satu karung besar berisi kotak-kotak hadiah. Abu Dzar yakin, pembaca dapat meneka dan membayangkan seperti apakah keadaan suasana yang cuba Abu Dzar gambarkan! Ya...Santa Clause!

Dalam keseronokan mereka membuat persiapan menyambut krismas, tiba-tiba Abu Dzar terdengar sesuatu yang tidak enak. Ada segelintir Muslim cuba meracuni keharmonian antara agama di Malaysia ini.

"Aku rasa kalau Nabi Isa hidup lagi dia pun pening kepala tengok birthday party dia macam ni"

"ni la perayaan yang tak de asal usul, kalau kat Palestin tu mana ada pokok krismas ni, mana ada salji segala bagai!"

Ini adalah contoh dari sekian banyak dialog yang pernah Abu Dzar dengar menyangkut masalah sambutan hari krismas. Golongan ini seolah-olah tidak menghiraukan sensativiti agama. Tidak bolehkah kepercayaan mereka ini dihormati? Mengapa perlu dijolok sarang tebuan?

Selaku seorang Muslim yang mencintai kedamaian, kita seharusnya memberi ruang dan peluang kepada penganut agama lain yang ada di negara ini mengamalkan kepercayaan mereka tanpa rasa prejudis. Lupakah kita akan perintah Allah dalam surah al-an'am pada ayat ke 108 yang bermaksud;

Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

Natijah dari membuat komen terhadap Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan hanya membuatkan agama Islam semakin jauh dari hati mereka. Segala bentuk kritikan ini sebenarnya akan membangkitkan kemarahan dan rasa tidak nyaman untuk berada dalam kelompok Muslim. Abu Dzar bukan berniat untuk mengadakan rekonsilisasi terhadap hubungan antara agama di negara ini. Cuma sekadar ingin membuka mata Muslim yang ada agar lebih matang dalam menilai.

Berada dalam kasut mereka

Sekarang mari kita lihat pula sambutan aidilfitri di negara ini. Sebatas pengetahuan yang Abu Dzar ada, premis perniagaan akan dihias dengan anyaman ketupat, deretan pelita dan mungkin buluh (baca: lemang...bukan meriam buluh).

Sekarang Abu Dzar kembalikan komen kepada anda.

"Rasulullah dulu makan ketupat ke masa aidilfitri?"

"Area Tanah Arab tu mana ada pokok buloh kan!"

Pasti ramai yang tidak selesa dan sudah ada hujah yang ingin ditegakkan kepada Abu Dzar. Sabar ya, nanti dulu. Ada legi beberapa sembutan yang dilakukan oleh orang Islam di negara ini yang menarik untuk kita lihat kembali.

Maal Hijrah

Berjalan beramai-ramai sambil membawa sepanduk dan kain rentang. Serta ditambah pula dengan alunan 'tholaal badru alaina...' Ini juga sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah saw. Jika kita baca buku sirah, Rasulullah berhijrah hanya bersama sorang lelaki yang kemudian menjadi bapa mertuanya, Abu Bakar as siddiq. Alunan 'tholaal badru alaina...' pula dinyanyikan oleh penduduk Madinah yang telah berhari-hari menunggu kedatangan Rasulullah. Bukan dialunkan oleh Rasulullah dan Abu Bakar.

Malam Tujuh Likur

Ini pula yang terjadi pada 7 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Sibuk memasang pelita kerana kononnya ada malaikat yang akan turun membawa rahmat. Malaikat tersebut pula dikatakan tak nampak jalan jika tak dipasangkan pelita sepanjang jalan ke rumah. Bukankah Rasulullah menajarkan kita agar melipatgandakan ibadah dengan beriktikaf di masjid? Maka ini juga sesuatu tindakkan yang tidak ada asal usul.

Marah?

Begitu juga perasaan orang Kristian tatkala kita menghina sesuatu yang mereka anggap suci. Mereka sangat marah jika kita mengatakan bahawa Krismas adalah suatu perayaan yang tidak ada asal usul! Sebenarnya mereka ada alasan yang tersendiri sebagaimana kita meraikan aidilfitri dengan ketupat dan lemang. Meraikan Maal Hijrah dengan berarak. Menyambut Maulidurrasul serta banyak sambutan yang lain. Maka Abu Dzar mohon pertimbangan akal waras setiap orang Islam agar tidak menghina sembahan orang bukan Islam.

Bukalah al-Quran, baca dan tadaburlah ayat 108 dari surah al-An'am yang Abu Dzar berikan tadi. Kita akan dapati bahawa Allah menjadikan secara fitrah yang mereka merasakan baik tindakan yang mereka lakukan. Lihat pada pertengahan ayat;

kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka

Maka janganlah kita menghina perkara yang mereka anggap baik. Jika tidak, mereka akan menghina Allah dengan melampaui batas dengan tanpa pengetahuan mereka.

Platform Yang Tidak Tepat

Jika kita berniat untuk  menyedarkan orang Kristian akan kepincangan dalam agama mereka itu, mencela sambutan Krismas bukan platformnya. Niat yang kita miliki tidak pernah menghalalkan cara untuk berdakwah. Janganlah kita terperangkap dalam perangkap syaitan. Ibnu Jauzy menulis buku Talbis Iblis membicarakan tentang perangkap syaitan dengan menjerat manusia mengandalkan suatu kebaikan dan melupakan kebaikan yang lain.

Platform yang baik adalah seperti yang dilakukan oleh Ahmad Deedat. Berbicara tentang agama Kristian bersama seorang Pastor. Hadirin yang datang masti sudah menyiapkan minda mereka untuk perbandingan agama. Maka mereka (orang kristian yang hadir) siap memberikan Jesus untuk dikritik secara intelektual. Bukan dengan emosi.

Inilah kuncinya. Mengkritik secara intelektual.

Jesus dan Nabi Isa as

Abu Dzar suka mengajar pembaca membuka lembaran sirah tatkala orang Islam berhijrah ke Habsyah. Seorang pemimpin Quraish datang kepada Raja Najashi dan meminta agar kelompok Muslim yang datang tersebut diserahkan kepada mereka untuk dibawa pulang ke Mekkah. Amru al-As mengatakan Nabi Isa dengan sesuatu yang tidak baik dalam kepercayaan Islam. Namun perhatikanlah apa jawapan Ja'afar bin Abu Talib terhadap tuduhan ini.

Nabi Isa adalah “hamba Allah, utusan Allah, suci dari Allah serta kalimah-Nya yang diturunkan kepada Maryam yang merupakan seorang perawan (gadis) yang tekun bersembah sujud (kepada-Nya)”

Nah sekarang jelas, memetik kata-kata Raja Najashi usai mendengar hujah yang disampaikan oleh Ja'afar. Islam dan Kristian sebenarnya datang dari sumber yang sama.

Sekarang Abu Dzar serahkan kepada celik akal yang anda miliki untuk menilai dengan matang. Penganut agama Kristian ini sebenarnya golongan untuk didakwahi dengan kasih sayang bukan golongan yang perlu diperangi dengan kritikan dan prejudis.

Ulasan