Fenomena merokok sudah dianggap biasa. Baik di negara maju di Eropah dan Amerika mahupun dikalangan negara membangun seperti Malaysia. Ini sebenarnya satu kebiasaan yang tidak patut berlaku Negara-negara Islam. Negara Malaysia khasnya, mengaku sebagai Negara Islam tidak wajar menjadikan fenomena merokok ini sebagai sesuatu yang dianggap biasa. Hal ini berikutan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 di Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa merokok adalah haram hukumnya di sisi Islam. H.A.R.A.M.
Rokok yang ada dijual hanya layak dibeli oleh orang bukan Islam sahaja. Seperti halnya daging babi yang hanya boleh dibeli oleh non-muslim. Begitu juga arak. Semua ini telah diputuskan sebagai haram. Maka selaku orang Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, kita wajar menuruti segala yang telah diputuskan dengan hati yang lapang.Bukan tampil dengan teori-teori untuk menfikan keputusan majlis fatwa tersebut.
Sebutkan apa juga teori yang ada:
1. Dapat hilangkan mengantuk.
2. Kelihatan lebih cool.
3. Fokus lebih tinggi.
4. Fikiran lebih tenang
5. Meredakan perasaan marah.
6. Menjana ekonomi negara.
Semua ini hanya alasan yang dicipta oleh manusia yang mungkin hatinya telah jauh dari Islam. Bukan kah Islam mengajarkan umatnya untuk berzikir supaya hati menjadi tenang. “Ketahuilah, dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang” (ar-Ra’d:28). Islam mengajarkan agar umatnya supaya mengawal rasa marah. Sekiranya terasa marah, hendaklah kita duduk. Jika marah itu masih tidak hilang, hendaklah kita baring. Dalam hadith lain, Rasulullah mengajarkan kita agar berwudhu’ dan solat sunat untuk meredakan rasa marah.
Seribu satu alasan
Alasan lain seperti “nak dilihat bergaya dan cukai rokok mampu menjana ekonomi negara” tidak lain hanyalah retorik makhluk yang bertuhankan nafsu. Golongan seperti ini tidak akan pernah berhenti untuk mencari alasan agar keinginan mereka tercapai. Hukum tuhan awal-awal lagi dibakulsampahkan.
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebenarnya mengambil kira mudharat yang lebih besar berbanding manfaat yang bakal diperoleh jika umat Islam di Malaysia merokok. Berikut disenaraikan beberapa kesan buruk jika seseorang itu merokok;
- Rokok menjejaskan akal (mental)
- Rokok membahayakan kesihatan fizikal
- Rokok membahayakan keselamatan diri dan orang lain
- Rokok membahayakan keturunan
- Rokok mengganggu manusia lain
- Rokok menimbulkan akhlak buruk
- Rokok mensia-siakan waktu hidup
- Rokok bercanggah dengan maruah keislaman
- Rokok membazirkan harta (wang)
- Rokok mengandungi dadah (nikotin)
Khilaf dahulu kala
Suatu ketika dahulu, memang ada pihak yang mengatakan bahawa merokok adalah makhruh atau paling syadid adalah harus. Namun begitu, khilaf tersebut berlaku lantaran tidak ada kata putus yang dikeluarkan saat ditanya tentang hukum merokok. Berikut saya sertakan soalan dan jawapan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa negeri Kelantan
“Tembakau jawa yang kelaziman orang melayu memakannya (menghisapnya) seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu. Adakah sekalian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?
Jawapan; “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti’malkan dia (digunakan) bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengan dia pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengan dia maka haram diisti’malkan dia (digunakan).
Fatwa negeri Kelantan di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertanyaan 202, jilid 1.
Ijma’ Ulama
Kini segalanya sudah jelas. Majlis Fatwa Kebangsaan telah sebulat suara bersetuju dengan hukum merokok. Haram!
Adakah kita masih lagi nak memeningkan kepala dengan khilaf dahulu kala sedangkan segala-salanya sudah terang lagi bersuluh.
Tepuk dada, tanyalah iman!
InsyaAllah iman yang sihat akan cenderung memilih kebaikan, walaupun kebaikan itu tidak sentiasa berada di atas jalan yang mudah.
Ulasan