Tips Menyenangkan Hati Ibubapa

Cuti sem sudah bermula, jadi bagaimana dengan aktiviti sepanjang hari-hari yang telah berlalu? Mudah-mudahan banyak perkara-perkara yang bermanfaat anda telah jalankan. Pada kesempatan ini Abu Dzar ingin membicarakan sedikit tentang “Menyenangkan Hati Ibubapa”. Atau tajuk yang agak stereotaip adalah “birru walidain”. Jika dilihat dari segi linguistik, terjemahan tersebut tidak tepat. Sepatutnya jika perkataan birru walidain diterjemahkan kepada bahasa Melayu, ia akan memberi maksud berbakti kepada ibubapa. Namun begitu Abu Dzar sengaja keluar dari atmosfera linguistik bagi membuka lembaran baru yang lebih praktikal kepada pembaca MeNtaDaKakiDaL.

Sebelum kita terjun kepada tips dan perkara yang boleh dilakukan, mari kita lihat sedikit sorotan dalil Quran dan hadith yang menyuruh kita menyenangkan hati ibubapa.

Allah berfirman di dalam surat Al-Isra’ ayat 23-24.

“Dan Rabbmu telah memerintahkan kepada manusia janganlah ia beribadah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada kedua orang tua dengan sebaik-baiknya. Dan jika salah satu dari kedua atau kedua-dua telah berusia lanjut disisimu maka janganlah katakan kepada kedua ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya” [Al-Isra : 23]

“Dan katakanlah kepada kedua perkataan yang mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap kedua dengan penuh kasih sayang. Dan katakanlah, “Wahai Rabb-ku sayangilah kedua sebagaimana kedua menyayangiku di waktu kecil” [Al-Isra : 24]

Rasulullah SAW meletakkan birru walidain ini sebagai amalan kedua terbaik setelah solat tepat pada waktunya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

"Diriwayatkan dari 'Abdullah ibnu Mas'ud ra, dia berkata, "Aku bertanya kepada Nabi SAW, "Apa amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?" Beliau menjawab, "Solat tepat pada waktunya." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa?" Beliau SAW menjawab, "Birru walidain." Kemudian aku bertanya lagi, "Seterusnya apa?" Beliau menjawab, "Jihad fi sabililah." [HR. Muttafaqun 'alaihi]

Cukupla tu, sekarang mari kita lihat perkara yang boleh dilakukan bagi menyenangkan hati ibubapa masing-masing.

Solat Pada Awal Waktu

Mungkin solat pada awal waktu sudah menjadi kebiasaan bagi ikhwah-ikhwah yang telah ditarbiyah dengan baik. Namun, di sebalik kebiasaan yang antum lakulan sebenarnya tersemat rasa gembira yang tidak terhingga bagi ibu dan bapa tatkala melihat anaknya konsisten melaksakan ibadah fardhu tersebut 5 kali sehari semalam. Bagi yang masih lagi terlepas untuk melakukan solat fardhu pada awal waktu, sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk memulakan tabiat baru. Dengar sahaja azan atau tahu saja dah masuk waktu solat, dengan pantas bergegas untuk menunaikan solat.


Untuk mendapatkan impak yang lebih menarik, anak lelaki adalah dicadangkan untuk menunaikan solat fardhu di masjid atau surau. Bawa adik-adik bersama-sama untuk menunaikan solat berjemaah. Bagi perempuan aka akhwat, solat sahaja di rumah itu lebih baik. Satu idea lain adalah anda membaca quran sebelum masuk waktu solat dan bagi tazkirah setelah selesai menunaikan solat.

Bantu Ibu Mengemas Rumah

Secara umumnya memasak dan mengemas rumah adalah tugas yang perlu dilakukan oleh seorang yang bergelar ibu. Oleh yang demikian, adalah sangat baik jika anda dapat membantu meringankan tugas ibu tersebut. Jangan beri alas an anda anak lelaki anda tidak boleh membantu. Sebenarnya anak lelaki jauh lebih perlu membantu memandangkan anak lelaki mempunyai sedikit lebihan tenaga untuk mengangkat meja, membersihkan kipas atau mengalihkan pasu bunga.

Kalau anak perempuan, tidak perlu la Abu Dzar nyatakan lagi keperluan anda membantu ibu mengemas rumah. Jadikan aktiviti menyapu rumah sebagai mutabaah harian. Setiap pagi setelah selesai sarapan atau menjemur kain, sapulah rumah anda atau bagi yang biasa guna vacuum cleaner, vacuum lah rumah agar tugas harian ibu dapat diringankan.

Bagi yang pandai menggubah bunga, luangkan sedikit masa untuk menggubah bunga di rumah agar rumah anda nampak lebih berseri apabila anda pulang. Bagi yang pandai menjahit, buat sarung bantal baru atau cari idea untuk memberikan nilai tambah kepada sarung bantal yang sedia ada. Contohnya sarung bantal tu anda tambah reben supaya nampak lebih menarik.

Memasak Bersama Ibu

Jika mengemas rumah anda boleh lakukan sendirian tanpa bantuan atau pertolongan ibu, memasak ni agak lain sikit menurut perkiraan Abu Dzar. Anda perlu memasak bersama ibu. Sebabnya adalah ibu lebih tahu apa yang ayah, adik abang dan kakak anda suka makan. Faktor lain adalah anda dapat belajar terus dari ibu cara memasak yang mungkin hanya teori dalam buku resepi. Tambahan pula, anda boleh bersembang dengan ibu sambil memotong bawang atau siang ikan.

Bagi anak lelaki, membantu ibu memasak bukanlah sasuatu yang perlu dimalukan. Tetapi ini adalah peluang bagi anda untuk membuktikan bahawa anda memang sudah boleh berdikari dan tahu serba sedikit tentang barang dapur. Sebagai contoh, apabila ibu meminta anda mengambil terung dari dalam peti ais, ambil dan mulakan perbualan, “wah, besarnya terung mama beli ni. Kalau kat KK terung macam ni mahal sikit, kat Tamu Tuaran la yang murah nak beli sayur-sayur macam ni. Berapa ringgit mama beli ni?”

Tapi kalau tak kenal terung yang mana satu, jangan segan tanya “Ma, terung tu yang ni ke?" (sambil angkat lobak) keh keh keh. Jangan pandai pandai pulak cover malu cakap “owh, kalau kat Sabah benda ni la orang panggil terung!”

Basuh Kereta

Bagi yang tak tahu, upah cuci kereta tempat yang tulis “Snow Car Wash” tu bermula dari RM 8 hingga RM 12. Kita ambil nilai yang mudah kira, RM 10. Jika sekiranya ayah hantar seminggi sekali, dalam sebulan ayah akan hantar kereta tersebut 4 kali. Total bulanan untuk mencucu kereta sudah RM 40. Kalau sepanjang tahun sudah mencecah RM 480. Jadi Abu Dzar rasa adalah sangat wajar selaku anak pergi mencemar duli membasuh kereta seminggu sekali. Kalau selalu sangat nanti bil air pulak yang naik. Dan jika memungkinkan, tolong vacuum dalam kereta dan beli pewangi ye! Baru la seronok nak ajak family berkelah.

Berkelah

Cakap pasal berkelah, tiba-tiba terlintas pulak idea untuk menyenangkan hati ibubapa dengan ajak mereka berkelah. Rasanya tak ada alas an tak tau nak berkelah kat mana kot. Malaysia ni terlalu banyak sangat tempat untuk berkelah dan bersantai bersama keluarga. Kalau dah tak tau sangat nak berkelah kat mana, bentangkan tikar di depan rumah (porch kereta), siapkan nasi dan lauk serta air laici yang sejuk. Berkelah lah di hadapan rumah. Macam idea gila tapi Abu Dzar pernah buat beberapa kali bersama dengan mak dan adik-adik. Seronok!


Makan Menambah

Abu Dzar yakin dan percaya mesti yang hairan dan tak kurang juga yang tersenyum dengan tips ini. Kalau makan masakan mak, menambah lah 2 kali. Sebab mak memang memasak untuk anaknya yang balik jarang-jarang sekali. Mak akan cuba memasak semua jenis makanan kegemaran dalam kuantiti yang agak banyak kerana memikirkan anaknya yang dah lama tak makan telur ikan (contoh je ni). Jadi apalah salahnya anda makan lebih sedikit dari biasa untuk menyenangkan hati mak. Kalau biasa makan sepinggan je, makanlah 2 pinggan bila balik ke rumah. Mesti mak sangat gembira melihat anaknya makan dengan berselera hasil masakan mak. Kalau takut gemuk pagi esoknya lepas subuh jangan la tidur, pegi jogging. Petang main badminton dengan adik-adik. Malam boleh makan banyak hehe

Hmm...rasanya tu la dulu buat masa ini. Kalau suka baca blog lama-lama depan laptop, PC ataupun melayan FB ni sebenarnya parent tak berapa berkenan, “komputer tu kat asrama angah pun boleh tengok, meh la sini teman mak buang kepala ikan bilis ni, esok nak masak nasi lemak”.


Semoga kepulangan anda dapat menyenangkan hati ibubapa!

Ulasan

kecilsikerikil berkata…
saya suka tips ini..syukran..
Walid Hafizul berkata…
ahlamdulilah, semoga jadi anak yang solehah =)
Tanpa Nama berkata…
oh terima kasihh