Ujian Allah

Seorang Islam yang mengaku beriman pasti akan diuji Allah dengan pelbagai jenis ujian dan dan dugaan. Hal ini telahpun Allah khabarkan buat semua melalui surah al-Baqarah dalam ayat ke 214  “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Sakit adalah ujian dari Allah

Jelaslah di sini bahawa ujian Allah itu pasti bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah. Cuma sahaja ujian Allah itu berbeza bagi setiap individu. Ada orang yang Allah uji dengan harta yang banyak, ada orang yang diuji oleh Allah dengan anak yang nakal, ada juga yang diuji dengan ibubapa yang jauh dari Allah, tidak lupa juga bagi pelajar, Allah uji dengan pencapaian akademik. Ada yang Allah beri kecemerlangan yang luar biasa, untuk menguji samada mereka bersyukur. Ujian Allah juga boleh berupa pencapaian akademik yang tidak cemerlang, bagi memastikan samada hamba-Nya mampu bersabar atau tidak. Maka beruntunglah bagi yang bersyukur dan rugilah bagi yang kufur . Hal ini selari dengan firman Allah dalam surah Ibrahim ayat yang ke-7 ” Dan, tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".”

Selaku seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah, kita harus sedar bahawa Allah sentiasa menguji iman kita baik dengan ujian keburukan seperti terlibat dalam kemalangan ataupun diuji dengan kekurangan wang. Allah juga menguji manusia dengan kesenangan seperti dikurniakan isteri yang cantik, kesihatan yang baik atau ujian yang berupa ramainya orang yang menuruti seruan dakwah yang kita lakukan. Kedua-dua jenis kebaikan dan keburukan ini adalah ujian Allah.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.  Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan.” Al-Anbiya’ : 35

Satu perkara yang sangat pasti adalah Allah akan menguji kita dengan sesuati yang kita sayang. Sebagai contoh seorang yang baru sahaja membeli kereta baru dan dia memandu kereta tersebut ke masjid untuk solat Zohor. Usai melakukan solat, dia meluru ke kereta yang sangat disayangi. Dengan tidak semena-mena matanya terpandang akan sedikit calar di sebelah pintu. Inilah ujian Allah, adakah nanti dia akan datang lagi bersolat di masjid atau mungkin itulah kali terakhir.

Gambar hiasan
 
Namun begitu bagi pelajar unversiti mungkin tidak mempunyai simpanan harta atau kekayaan yang bertimbun-timbun, maka yang paling berharga adalah masa lapang ketika berada di kampus. Maka apa salahnya jika waktu-waktu seperti itu digunakan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Luangkan sedikit masa untuk menghadiri kuliah Maghrib di Masjid atau surau-surau. Jika diajak untuk menghadiri majlis-majis ta’lim, cubalah sedaya upaya untuk memenuhi undangan tersebut. Luangkan sedikit masa dalam seminggu untuk menghadiri halaqoh atau usrah.

Jadikan halaqah aktiviti mingguan



Adakah anda tahu kenapa anda perlu meluangkan masa untuk semua perkara tersebut? Jawapannya adalah agar rasa cinta akan agama Allah ini tumbuh segar dalam diri. Rasa cinta ini kemudiannya membuahkan sayang akan Islam. Setelah semua perkara ini tumbuh mengakar dalam diri, Allah akan berikan ujian yang sesuai dengan iman masing-masing. Hal ini sesuai dengan dalilnya dalam ayat terakhir surah al-Baqarah yang berbunyi “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. Maka berbahagialah jika Allah memberikan ujian yang berupa dugaan dalam menyebarkan agama Allah.

Ulasan