Saya terpanggil untuk memberikan nasihat secara terbuka buat semua anak-anak polis yang berada di Malaysia. Tidak kira lah ibu atau bapa anda atau mungkin juga kedua-duanya sekali berkerja dengan PDRM dalam apa jawatan sekalipun. Baik serendah-rendah jawatan hingga ke jawatan yang paling tinggi dalam bidang kuasa keselamatan negara ini.
Kawan-kawan ku anak-anak polis sekalian,
Maaf saya katakan samada anda sedar atau tidak, masyarakat Malaysia ini secara umumnya mempunyai satu persepsi yang tidak baik kepada pihak PDRM. Saya yakin anda juga tahu akan perkara ini. Rasuah! Mungkin pahit untuk ditelan tapi ini adalah femomena yang berlaku dewasa kini. Masyarakat biasanya akan memandang sinis kepada anggota dan pegawai polis yang bermati-matian bekerja mengekalkan kestabilan dan keamanan negara ini dengan tidak mengambil rasuah.
Fenomena ini berlaku berikutan ada sebahagian besar anggota atau pegawai yang bertindak sedemikian. Mengambil duit suapan tanpa memikirkan natijah buruk tindakan mereka itu. Maka seluruh warga PDRM dilihat sebagai satu organisasi yang teruk bergelumang dengan rasuah. Kalau kata orang Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Saya faham bahawa jumlah yang menerima rasuah ini bukanlah sedikit. Bukan setitik. Maka wajarlah susu yang sebelanga itu rosak.
Akan tetapi, jangan pulak kita lupa bahawa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk. Masih ada lagi individu yang komitmen menjaga kesucian pendapatan untuk hasilnya nanti disuap ke mulut anak dan isteri. Itulah hakikatnya, PDRM dewasa kini berhadapan dengan krisis anggota dan pegawai yang tidak menghiraukan integriti diri mereka.
Saya jadi teringat kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi;
Daripada Anas R.A. Bersabda Rasulullah S.A.W. “Akan datang kepada umatku satu zaman dimana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”.
Ingin saya tegaskan bahawa memelihara diri dari sumber yang haram adalah berpegang kepada agama. Hal ini kerana Islam melarang penganutnya makan dari sumber yang haram. Hadith tadi menunjukkan betapa besarnya rintangan dan dugaan bagi orang yang ingin memelihara diri dan keluarga dari api neraka. “Nabi S.A.W memberikan satu perumpamaan yang jelas menunjukkan cabaran yang perlu ditempuh. Seperti memegang bara api. Jika kita tidak bersungguh-sungguh, nescaya akan terlepas.
Lantaran itu, saya menyeru kawan-kawan anak polis yang berada di seluruh dunia. Marilah kita sama-sama mendoakan ibubapa kita agar terus dipelihara Allah dari terjerumus dengan jenayah rasuah. Berdoalah agar mereka merasa cukup dengan apa yang sudah dimiliki sekarang. Berdoalah supaya kita diberi kekuatan untuk terus menyokong perjuangan menentang rasuah.
Selain itu, marilah kita sama-sama berusaha memperbaik akhlak diri kita semua. Jauhkan diri dari perkara yang sia-sia. Kurangkan menonton TV rancangan yang tidak memberikan nilai tambah kepada iman dan tahap intelektual. Lebih-lebih lagi rancangan berbentuk hiburan. Jangan beli majalah atau komik yang tidak membina tahap kematangan berfikir. Apa lagi majalah hiburan seperti manggis, cempedak, durian, pisang atau keladi.
Kawan-kawan ku anak-anak polis sekalian,
Gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya. Kurangkan tabiat suka melepak bersama kawan-kawan tidak kiralah baik di berek polis, pusat membeli belah atau pun di mana-mana juga tempat yang menjadi “port” anda melepak. Daripada anda melepak, adalah lebih baik jika anda berada di rumah untuk membantu ibu mengemas rumah, tolong adik menyudahkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru atau apa juga kerja-kerja yang ada di rumah anda.
Paling penting saya ingin ingatkan kepada kawan-kawanku anak polis sekalian, jangan meninggalkan solat dengan tanpa ada alasan yang syarie. Solatlah di awal waktu. Bagi yang lelaki, usahakan untuk solat berjemaah di surau atau pun masjid. Mungkin berat dan payah pada permulaannya, namun apabila Allah mengurniakan kemanisan iman kepada anda, anda akan rindu dan menanti-nanti waktu solat.
Saya berpesan kepada anda ini mudah-mudahan ibubapa anda terlepas dari tanggapan buruk masyarakat yang mengaitkan polis dengan rasuah. Dengan akhlak baik yang anda tunjukkan kepada masyarakat mudah-mudahan dapat mengunci mulut orang yang ingin berkata tentang keburukan keluarga anda. Akhir sekali, berdoalah kepada Allah agar ibubapa anda terhindar dari jenayah rasuah yang membelenggu leher PDRM buat masa ini.
Sekian, semoga kawan-kawan ku anak-anak polis mendapat kebaikan dari perkara-perkara yang saya tulis.
Ulasan