Tips Cemerlang Berdoa



Dalam surah al-Mukmin (atau Ghafir) ayat 60 Allah berfirman,

“Berdoalah kepadaku akan Aku perkenankan permintaanmu.”

Di samping berusaha umat Islam disuruh berdoa kerana kecemerlangan dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah doa ialah ibu ibadah. Demikian yang disabdakan nabi mengikut riwayat Imam Tirmizi. Doa yang dipohon secara ikhlas akan memberi impak kepada hidup kita. Berhubung dengan ini, Imam An-Nawawi menukilkan perkataan Imam al-Ghazali yang berkata, “Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan.” Perkara ini dinukilkan dalam kitab al-Azkar.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Mintalah kepada Allah kurniaannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan (dari hambanya).”

Adab-Adab Berdoa

Doa yang diterima oleh Allah ialah doa yang datang dari hati yang khusyuk. Ketika berdoa beberapa adab perlu dijaga agar doa itu diberkati dan dimakbulkan Allah. Antara adab-adab itu ialah:

1. Memilih waktu yang mulia.

Antara waktu-waktu istimewa yang baik untuk berdoa, berpandukan hadis-hadis nabi, ialah di bulan Ramadan, pada hari Jumaat, pada hari Arafah, waktu sahur, ketika sedang berjihad, waktu hujan turun, selepas melaksanakan solat-solat fardu, antara azan dan iqamat, ketika sedang berpuasa dan ketika sedang sujud dalam solat.

2. Merendahkan diri kepada Allah dan khusyuk.

Dalam surah Al-A’raf ayat 55 Allah berfirman, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan takut.” Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Berdoalah kepada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah tidak memperkenankan doa yang datang daripada hati yang lalai.”

3. Bertaubat daripada dosa dan mengembalikan semula hak mereka yang telah dizalimi.

Dosa yang dilakukan akan menjadi benteng yang menghalang penerimaan doa oleh Allah. Hal ini disebutkan dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi. Allah berfirman dalam surah At-Tahrim ayat 8, “Wahai mereka yang beriman bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha (iaitu taubat yang sebenarnya).”

4. Meyakini bahawa doa itu akan diterima.

Maksudnya, hendaklah kita berfikiran positif ketika berdoa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi bersabda, “Berdoalah kepada Allah dengan kamu meyakini bahawa ia akan diterima.”



5. Tidak tergesa-gesa.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, nabi bersabda, “Doa seseorang kamu akan diperkenankan selagi mana dia tidak bersikap tergesa-gesa dengan berkata, ‘Aku telah pun berdoa tetapi nampaknya tidak diperkenankan’.” Mereka yang tergesa-gesa bersikap seolah-olahnya mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Sepatutnya mereka berserah diri kepada Allah kerana Allah saja yang mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud, “Tidak berdoa seseorang hamba di bumi ini melainkan ianya akan diperkenankan Allah, atau dipalingkan Allah satu keburukan daripadanya setimpal dengan apa yang dipohonnya, selama mana dia tidak meminta perkara yang berdosa atau meminta untuk memutuskan tali persaudaraan.”

6. Hendaklah dimulakan sesuatu doa dengan memuji Allah dan berselawat ke atas nabi.

Demikian juga adabnya ketika mengakhiri doa itu. Hal ini disebutkan di dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi dan Ihya Ulumuddin oleh Al-Ghazali berdasarkan beberapa hadis nabi.

7. Disunatkan mengulang-ulangi sesuatu doa untuk menampakkan kesungguhan.

Hal ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud melalui sahabat Abdullah ibn Masud yang berkata, “Sesungguhnya Rasulullah amat gemar mengulang-ulangi doa dan istighfar tiga-tiga kali.”

Ulasan

Yusry Yusopp berkata…
Salam Ramadhan 2 my blog follower Lawatilah creativesifu.blogspot.com :-D dapatkan HaDiaH RaMaDHaN.. PERCUMA! 48 Aktiviti & Permainan Usrah :-D